Pihak
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menganugerahkan penghadiahan
Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) dan Biasiswa Kelas Persediaan Universiti
(BKPU) kepada pelajar sekolah menengah yang menunjukkan prestasi akademik,
kokurikulum dan sukan yang cemerlang tetapi terdiri daripada pelajar-pelajar
yang berlatarbelakangkan pendapatan isi rumah kurang dari RM1,500.00
sebulan. Penghadiahan BKP ialah kepada pelajar tingkatan satu hingga
tingkatan lima manakala BKPU dianugerahkan kepada pelajar tingkatan
enam. Kadar BKP adalah RM70.00 sebulan manakala RM90.00 sebulan (bagi
pelajar aliran sastera) dan RM110.00 sebulan (bagi pelajar aliran
sains).
KPM
telah mengambil langkah-langkah berterusan dari segi pemantauan pemberian
penghadiahan BKP dan BKPU ini kepada pelajar-pelajar yang kurang mampu
dari segi kewangan tetapi memenuhi syarat-syarat dan kriteria-kriteria
dari segi akademik, kokurikulum dan sukan yang cemerlang.
Kerjasama
daripada beberapa pihak seperti sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah
(PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) telah diperolehi dalam memastikan
pelaksanaan penghadiahan biasiswa ini dilaksanakan dengan berkesan.
Sekolah berperanan mengenal pasti pelajar-pelajar yang layak menerima
hadiah biasiswa ini sebelum dimajukan borang permohonan mereka kepada
PPD dan seterusnya kepada JPN. KPM
(Bahagian Kewangan) akan mendapatkan maklumat daripada JPN sebelum
meluluskan permohonan pelajar. Pemprosesan permohonan pelajar adalah
melalui Sistem Pemberian Biasiswa (SisPEB) yang telah dibangunkan
oleh Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM) KPM. Penggunaan
SisPEB memudahkan proses pemilihan secara telus dan cepat. Bagi memastikan
proses pelaksanaan ini diagihkan secara adil dan saksama, KPM telah
menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa ke semua agensi yang
terlibat dengan bantuan pihak Bahagian Audit Dalam dan Bahagian Audit
Sekolah.
|